KUALA LUMPUR – Lebih ramai rakyat Malaysia yang masih aktif bekerja walaupun sudah berusia lebih 60 tahun, demikian dapatan kaji selidik Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya.
Adanya ramai warga tua yang bekerja merupakan tanda penuaan positif yang menunjukkan fizikal dan kesihatan minda mereka masih sihat walaupun populasi orang tua semakin bertambah berbanding jumlah penduduk negara berikutan penurunan kadar fertiliti dan peningkatan kadar jangka hayat.
“Inilah yang dikatakan penuaan positif iaitu mereka menunjukkan kemampuan bekerja dan masih aktif seperti melibatkan diri dengan NGO (badan bukan kerajaan), menjadi usahawan, terlibat bidang penerbitan dan lain-lain pekerjaan,” kata Pengarah SWRC Prof Datuk Norma Mansor.
Menurut Jabatan Perangkaan, hampir 10 peratus populasi rakyat Malaysia hari ini berusia 60 tahun dan ke atas, dengan jumlah itu dijangka meningkat sehingga 15 peratus menjelang 2035.
Kaji selidik dalam talian mengenai ‘Memahami Penuaan’ yang dijalankan oleh SWRC terhadap 518 orang dari Mei 2015 hingga Mei 2016 mendapati sebanyak 50 peratus daripada mereka berumur 60 tahun dan masih bekerja.
Kaji selidik SWRC mengenai ‘Penilaian Kecukupan Simpanan: Kes Anggota Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) terhadap 2,635 orang pada Jun 2016 mendapati hampir separuh daripada responden itu berusia 60 tahun dan ke atas dan masih bekerja.
“Kami mendapati, walaupun mempunyai beberapa bentuk simpanan atau pelaburan, mereka memilih untuk terus bekerja,” katanya sambil memberitahu bahawa dapatan kaji selidik itu menunjukkan warga emas masih mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
“Jadi, kita perlu memikirkan bagaimana untuk melibatkan mereka supaya dapat menyumbang ke arah produktiviti ekonomi,” katanya.
Sementara itu, Prof Robert L. Clark dari Jabatan Ekonomi, Pengurusan, Inovasi dan Keusahawanan North Carolina State University berpendapat trend lelaki dan wanita bekerja dengan lebih lama memberi kesan yang baik terhadap pekerja dan ekonomi negara secara keseluruhannya.
“Kajian menunjukkan usia tua tidak mempengaruhi prestasi dan keupayaan kerja (seseorang pekerja). Perbezaan individu dalam prestasi mungkin meningkat seiring dengan usia, namun, individu yang berkemahiran tinggi tidak mempunyai susut nilai selagi mereka terus bekerja,” katanya.
Dengan peningkatan bilangan pekerja tua, katanya, perhatian harus diberikan kepada cara bagaimana mengekalkan kemahiran dan keupayaan produktif pekerja yang berumur.
Beliau berpendapat jika bekerja lebih lama dianggap bermanfaat bagi individu, masyarakat dan ekonomi, oleh itu, kerajaan perlulah memperkenalkan dasar baharu yang boleh meningkatkan insentif bagi warga tua Malaysia untuk kekal dalam tenaga buruh serta membolehkan syarikat-syarikat mengambil pekerja lebih tua.
”Jika seseorang pekerja memilih untuk melengahkan persaraan, organisasi berkenaan mungkin boleh membuat kontrak perkhidmatan baru yang lebih sesuai untuk mereka dengan merubah nilai mereka kepada organisasi,” jelas Clark.
Sambil menyarankan majikan supaya merangka kontrak baharu untuk ‘pekerjaan yang direka bentuk semula’ termasuk mengurangkan waktu bekerja untuk pekerja yang bakal memasuki fasa persaraan, beliau berkata ini membolehlah pekerja bersedia meninggalkan pekerjaan sepenuh masa dan menerima syarat-syarat baharu berkenaan.
Seorang lagi profesor pelawat di SWRC, Profesor Naohiro Ogawa dari University of Tokyo dan pemegang Kerusi Perlindungan Kewangan Usia Tua, berkata di Jepun, kerajaan baru-baru ini memperkenalkan dasar mengenai warga emas bagi menaikkan umur pilihan menerima pencen awam hingga 71 tahun atau lebih tua.
Walaupun banyak sumber diperuntukkan ke arah program peningkatan kadar kelahiran, kerajaan negara itu belum dapat membalikkan trend yang menurun.
Ogawa berkata Jepun mempunyai kadar penyertaan lelaki dan wanita berusia 65 tahun dan ke atas yang tertinggi dalam tenaga buruh dunia.
“Jepun mahu menjadi masyarakat tidak menua di mana orang berumur 65 tahun ke atas tidak dianggap sebagai tua tetapi digalakkan untuk kekal sihat dan bekerja.
“Masyarakat tidak menua adalah apabila semua generasi boleh aktif mengikut kehendak mereka,” katanya.
Bagi Ogawa, tidak semua isu tentang penuaan adalah suram kerana ada faktor yang boleh membawa kepada masa depan yang lebih cerah termasuk faktor ‘dividen kependudukan’.
Beliau menjelaskan dividen kependudukan merupakan pertumbuhan ekonomi yang dialami oleh sesebuah negara akibat perubahan struktur umur penduduknya.
Penurunan kadar kelahiran penduduk menyebabkan jumlah tanggungan muda menjadi lebih kecil berbanding penduduk yang bekerja. Ia mengurangkan jumlah orang yang perlu ditanggung dan lebih tenaga buruh, sumber ekonomi dapat dibebaskan dan dilaburkan ke tempat lain untuk mempercepat pembangunan ekonomi negara dan kemakmuran masa depan penduduknya.
Ogawa berpendapat sebelum Malaysia melaksanakan sesuatu polisi berkaitan, kerajaan perlulah memahami tiga fasa dividen kependudukan yang dialami oleh penduduk negara ini.
Pertama, apabila kadar kelahiran negara menurun, akan ada lebih ramai orang yang bekerja berbanding dengan usia tidak bekerja. Secara ekonomi, Malaysia mengalami keadaan pengeluaran melebihi penggunaan, oleh itu, penduduk dapat menjimatkan wang dan menambah tabungan.
“Malaysia telah menikmati perkembangan ekonomi hasil daripada dividen kependudukan pertama dalam beberapa dekad yang lalu, tetapi ia dijangka berakhir pada 2029. Peluang emas itu perlu dimanfaatkan dengan melaksanakan dasar ekonomi dan sosial yang sesuai sebelum terlambat,” katanya.
Kedua, apabila individu di semua kumpulan umur meningkatkan simpanan atau pelaburan dalam bentuk tertentu seperti pencen awam, program kebajikan, sumbangan anak-anak dan ahli keluarga, atau melalui pencairan simpanan selama bekerja seperti KWSP. Ia bagi menyokong usia tua, terutamanya apabila jangka hayat berpanjangan.
Fasa ketiga pula membabitkan penambahbaikan berterusan dalam kesihatan warga tua, terutamanya yang mencapai umur persaraan.
Ogawa berkata masih banyak lagi kapasiti kerja yang belum diterokai oleh golongan itu dan berdasarkan data Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011, ia bakal memberikan kesan yang besar terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar negara.
“Jika pembuat dasar tidak meminggirkan tiga faktor tersebut dalam membangun dan melaksanakan dasar tenaga kerja dan keselamatan sosial dalam beberapa dekad akan datang, penduduk Malaysia akan dapat menikmati penuaan yang sejahtera,” katanya.
Norma pula berkata walaupun penyelidikan SWRC mengenai isu-isu yang berkaitan dengan penuaan tidak dapat memberikan semua penyelesaian yang diperlukan, beliau yakin dapatan kajian akademik sekurang-kurangnya dapat membantu organisasi, pekerja dan penggubal dasar untuk berfikir dengan lebih strategik semasa merangka dasar yang berkaitan dengan pengambilan semula pesara.
Norma berkata penuaan bukanlah suatu perkara yang ‘menakutkan’ jika golongan warga emas menjalani usia tersebut dengan bersikap positif.
Dalam satu artikel yang ditulis oleh Norma pada Oktober 2016 yang disiarkan sebuah akhbar harian, beliau berkata: “Penuaan positif adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan proses mengekalkan sikap positif, seronok dengan diri sendiri, sentiasa cerdas dan sihat, serta menjalani kehidupan sepenuhnya sebagai warga emas.
“Penyelidikan menunjukkan bahawa mereka yang hidup lebih lama adalah lebih sihat dan menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik. Bagaimana seseorang itu menguruskan, memikirkan dan mengatasi cabaran penuaan akan mempengaruhi cara mereka menghadapinya,” katanya.
Menurutnya dengan peningkatan jangka hayat berikutan kemudahan penjagaan kesihatan dan kemajuan dalam teknologi perubatan, rakyat Malaysia tidak boleh mengelak daripada membuat persiapan yang diperlukan bagi menghadapi hari tua mereka.
Kaji selidik SWRC mendapati rakyat Malaysia yang berumur 65 tahun hari ini dijangka hidup sekitar usia 80 tahun, yang merupakan tambahan 20 tahun selepas umur persaraan wajib.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia perlu bersedia dengan apa yang bakal berlaku pada 2030 termasuklah persediaan kewangan untuk menempuh hari tua.
Dari segi kewangan, ramai yang tidak yakin dapat hidup selesa sepanjang tahun tahun persaraan mereka.
“Kaji selidik kami pada 2016 (mengenai kecukupan simpanan dalam kalangan 2,635 anggota KWSP) menunjukkan hanya separuh daripada mereka yakin mempunyai kehidupan yang selesa berikutan adanya simpanan yang mencukupi,” katanya.
Berdasarkan keadaan ekonomi hari ini serta peningkatan kos sara hidup dan kos penjagaan kesihatan, ramai yang berkemungkinan akan menghabiskan apa sahaja sumber kewangan mereka dalam masa yang singkat, katanya.
“Sebab itulah saya sentiasa menggalakkan warga emas yang sihat dan aktif supaya terus bekerja,” katanya sambil menyarankan masyarakat supaya menabung lebih awal dan mempunyai instrumen perlindungan kesihatan yang diperlukan.- Bernama
Links:
http://www.sinarharian.com.my/nasional/sip-tidak-bebankan-majikan-pakar-ekonomi-1.714093
http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1630137